Jatuh
Katakan sahaja begini:
Awak sedang berjalan. Awak jatuh. Tidak usahlah bilang tiba-tiba sebab awak semacam perasan ada lubang, cuma awak tidak cukup hati-hati.
Awak tidak pernah jatuh lubang. Lubang itu dalam pula. Sudahlah dalam, becak lagi. Marah betul awak. Pakaian comot habis, badan sakit-sakit. Awak bercangkung dalam lubang, dalam air bertakung.
Tak mahulah bangun! Awak menjerit. Pada siapa, jangan tanya. Awak pun tidak pasti.
Lubang itu dalam, tapi orang boleh nampak awak. Sepuluh, dua puluh orang (saya cuma mahu cakap 'ramai'. Jika awak fikir itu belum cukup ramai, gantikan sahaja dengan sejuta dua juta') lalu, dia perasan awak di dalam lubang. Mereka tanya sama ada awak mahukan pertolongan. Awak bilang tidak. Setahu awak, awak kuat. Yang kuat tidak perlukan bantuan.
Orang juga boleh tarik awak naik atas. Yang lain lalu, hulurkan tangan. Susah-payah mahu angkat awak ke atas. Ya lah, lubang itu dalam.
Pendek cerita, kini awak sudah naik balik. Awak ucap terima kasih pada yang menolong dan teruskan perjalanan.
Tup tup tup (itu maknanya 'tiba-tiba'lah. Kan bosan kalau setiap cerita guna 'dan tiba-tiba..', hilang suspen) awak jatuh lagi.
Ai, macam mana boleh jatuh lagi. Dalam cerita ada satu sahaja konflik, kemudian cerita terus tamat. Tapi awak tahu, ini bukan cerita. Ini hidup. Cuma awak pernah jatuh dan awak tahu, duduk dalam lubang tidak seronok. Lebih seronok berjalan-jalan. Kali ini jatuh sahaja, awak terus berdiri. Masih dalam lubang, awak tidak diam. Awak yang meminta pertolongan orang.
Oh, tidak mudah. Awak suka dengar awak ini kuat, awak ini istimewa. Minta tolong orang tidak senang. Tapi awak minta juga.Kalau benarlah yang memberi itu mulia dan yang menerima itu hina, ini masa untuk memuliakan orang dan merasa diri hina.
Sebab awak ini bangga diri sangat.
Tamat.
p/s: Kalau awak tidak faham, tulis sahaja komen ini, "Sendiri tulis, sendiri baca, sendiri faham, tulis diarilah. " Saya mesti terasa. Cubalah.